UPM Holdings Sdn. Bhd. Kearah Mencapai Visi Sebagai Peneraju Industri Rumput Turf di Dunia
SERDANG, 26 SEPTEMBER - UPM Holdings Sdn. Bhd. pada hari ini mengumumkan bahawa secara ia telah memeterai Perjanjian Penjualan Saham (SSA), bagi mengambil alih kepentingan dalam Satiri Sdn. Bhd. bagi meneruskan visi mereka sebagai peneraju dalam sektor pertanian menerusi industri rumput turf.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UPM Holdings, Ir. Ts. Dr. Syed Mohamad Hamzah Al-Junid bin Syed Abdul Rahman, pengambilalihan ini merupakan satu pencapaian penting bagi UPM Holdings Sdn Bhd dalam misinya untuk membangunkan sektor pengeluaran turf komersial. UPM Holdings yang merupakan syarikat milikan penuh Universiti Putra Malaysia (UPM) sememangnya memfokuskan bidang pertanian sebagai salah satu sektor fokusnya. Menurut beliau, dengan pengambilalihan ini membolehkan UPM Holdings menggunakan segala pengalaman dan kepakaran yang dimilikinya untuk mengtransformasi teknologi Satiri Superdwarf Turf serta membangunkan penyelesaian pemasaran bersepadu”.
Satiri Sdn. Bhd. merupakan satu-satunya syarikat di Malaysia yang mengeluarkan rumput turf yang diperakui keasliannya dengan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) bersama Fakulti Pertanian, UPM. Keterjaminan keaslian dinilai berdasarkan spesis turf, kebolehupayaan pencemaran dan juga cara penanaman. Satiri Sdn. Bhd. menyediakan khidmat pembangunan dan penyelenggaraan padang seperti padang polo, golf, bola sepak dan sebagainya. Rumput keluaran Satiri Sdn Bhd juga sesuai digunakan dihalaman rumah dan taman-taman permainan kerana kandungan siliconnya yang rendah dapat menghindarkan daripada kecederaan kelukaan kulit. Disamping itu, Satiri Sdn Bhd juga menyediakan perundingan dan latihan berkaitan rumput turf.
Pengambilan Satiri Sdn Bhd ini juga selari dengan aspirasi UPM Holdings untuk menjdi peneraju kepada bidang rumput turf di dunia.
UPM Holdings Sdn. Bhd. memeterai perjanjian SSA tersebut pada 25 September 2023 di Kelab Golf Uniputra, Universiti Putra Malaysia, Serdang.
Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Dato’ Dr. Mohd Fauzi bin Hj. Ramlan, Pengerusi UPMHoldings, Ir. Ts Dr. Syed Mohamad Hamzah Al-Junid bin Syed Abdul Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UPMHoldings dengan pemegang saham Satiri Sdn. Bhd.
Pengerusi UPM Holding, Dato’ Dr. Fauzi bin Hj.Ramlan berkata, “Satiri merupakan aset yang tidak ternilai dan menyumbang peluang untuk kepentingan pelbagai pihak. Semoga dengan usahasama ini dapat memperkembangkan lagi teknologi rumput turf ke pasaran yang lebih besar.”
Beliau berkata usahasama ini akan memberikan kesan positif kepada perkembangan pasaran sedia ada seiring dengan pembangunan inovasi secara holistik.